MENU MAP : ISI KANDUNGAN>PROFIL JABATAN>Latar Belakang.

LATAR BELAKANG JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN

Jabatan Pengairan dan Saliran (ringkasnya disebut JPS) sebelum 15 Mac 1989 yang dikenali sebagai Jabatan Parit dan Taliair telah ditubuhkan pada 1 Januari 1932 bagi melaksanakan fungsi-fungsi pengairan dan saliran yang sebelum ini dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya. Penubuhannya adalah merupakan satu langkah Kerajaan bagi menggalakkan penanaman padi supaya negara tidak terlalu bergantung kepada bekalan beras yang diimpot. Diperingkat awal, selain daripada pembangunan kemudahan pengairan, Jabatan juga terus terlibat di dalam kerja-kerja saliran pertanian dan pemeliharaan sungai. Melalui fungsi-fungsi tersebut, Jabatan telah banyak memberikan sumbangan bagi menjayakan pembangunan pertanian di negara ini. Akibat bencana banjir besar yang menimpa negara pada tahun 1971, fungsi tebatan banjir dan hidrologi telah dipertanggungjawabkan kepada JPS pada tahun 1972. Pada tahun 1986 fungsi kejuruteraan pantai pula ditugaskan kepada JPS. Dengan keadaan persekitaran dan keperluan yang sentiasa berubah-ubah, JPS dijangka memainkan peranan yang lebih mencabar pada masa-masa akan datang.


LATAR BELAKANG JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN DAERAH HILIR PERAK

Daerah Hilir Perak terletak didalam Wilayah Lembah Bernam. Ianya disempadani oleh Daerah Perak Tengah disebelah utara, Daerah Batang Padang di timur, Daerah Sabak Bernam, Selangor disebelah selatan dan Selat Melaka di sebelah baratnya. Daerah Hilir Perak mempunyai 9 mukim iaitu, Mukim Bagan Datoh, Mukim Rungkup, Mukim Teluk Bharu., Mukim Hutan Melintang, Mukim Sungai Durian, Mukim Durian Sebatang, Mukim Sungai Manik, Mukim Labu Kubong, dan Mukim Changkat Jong.

Keluasan Daerah Hilir Perak adalah kira kira 168,000 hektar. Gunatanah utama daerah ini adalah kawasan pertanian dimana ianya meliputi kira kira 96% daripada kawasan keseluruhan iaitu 127,000 hektar. Aktiviti ekonomi utama penduduk tempatan adalah tertumpu kepada pertanaian, perindustrian, perdagangan dan perkhidmatan. Walaubagaimanapun, aktiviti lain saperti ternakan dan perikanan juga aktif dijalankan dikawasan pantai.


Pelan menunjukkan kawasan operasi Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Hilir Perak
(Klik pada pelan untuk pembesaran)

Tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran Hilir Perak

Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Hilir Perak memainkan peranan yang sangat penting dalam tugas membantu meningkatkan pertumbuhan pembangunan serta sosio-ekonomi penduduk di daerah ini memandangkan 96% dari keseluruhan daerah telah dibangunkan dengan pertanian. Tanggungjawab jabatan merangkumi kesemua fungsi fungsi utama jabatan iaitu mengendalikan Kawasan Pengairan Seluas 8,486 hektar dan Kawasan Saliran seluas 47,744 hektar, memelihara dan menyelenggara lebih kurang 100 batang sungai, dua Rancangan Tebatan Banjir, mengawal atau mencegah hakisan pantai sepanjang 25 kilometer dan mengendalikan pengumpulan data-data hujan dan paras air sungai untuk tujuan sistem amaran banjir. Disamping itu JPS Hilir Perak juga bertanggungjawab untuk memberi ulasan terhadap permohonan tanah, pengeluaran pasir sungai, pembangunan tanah, rancangan perumahan dan memberi nasihat kepada pentadbiran daerah dalam perkara yang berkaitan.